Saturday, April 15, 2017

Sendi Cepat Rosak Jika Gemuk.


Pernah rasa sakit secara tiba-tiba di lutut hingga sukar berjalan? Selepas diurut beberapa kali dengan minyak panas, barulah kaki berupaya melangkah perlahan-lahan? Bersedialah, kerana itu antara beberapa simptom masalah osteoartritis lutut yang dialami kebanyakan golongan muda hari ini.

Meskipun usia adalah faktor utama bagi osteoartritis lutut, golongan muda kini turut berisiko disebabkan keturunan, kecederaan ketika bersukan, jangkitan atau berat badan berlebihan.

Osteoartritis (OA) lazimnya radang sendi, berlaku apabila kusyen semula jadi antara sendi iaitu tulang rawan mula menjadi haus.


Apabila ini berlaku, tulang sendi itu akan saling bergesel lebih rapat dan kurang serapan hentakan yang sebelum ini memberi perlindungan kepada tulang rawan.

Geselan ini akhirnya menyebabkan kesakitan, bengkak, kekakuan dan menurunnya tahap keupayaan untuk bergerak.

Dengan perubahan gaya hidup zaman ini, makin ramai golongan muda seawal 20-an mula mengalaminya hingga ada yang terpaksa mendapatkan rawatan suntikan dan memerlukan pembedahan. Wanita juga didapati lebih berisiko mengalami osteoartritis lutut ini berbanding lelaki.

Penyebab utama OA ialah umur dan hampir setiap individu akan mengalami beberapa tahap osteoartritis. Bagaimanapun, beberapa faktor lain turut dikenal pasti berupaya meningkatkan risiko artritis yang ketara pada usia lebih awal.

Berat badan berlebihan akan memberikan bebanan kepada sendi terutamanya lutut. Setiap kilogram berat yang bertambah akan memberikan tiga ke empat kali tekanan pada lutut.

Faktor keturunan atau mutasi genetik pula membuatkan seseorang lebih cenderung untuk mengalami osteoartritis lutut disebabkan tahap abnormal yang diwarisi dalam bentuk tulang yang mengelilingi sendi lutut.

Kecederaan berulang dan tekanan kerap seperti mencangkung atau mengangkat barangan berat juga akan menyebabkan berlakunya osteoartritis lutut ini.

Tidak ketinggalan atlet kerana pendedahan berterusan kepada tekanan lutut terutama sukan yang banyak membabitkan penggunaan kaki. Rawatan tanpa ubatan biasanya dilakukan terlebih dulu kepada pesakit bagi mengurangkan kesakitan dan simptom sedia ada.

Rawatan dimulakan dengan perubahan gaya hidup terutama mereka yang mengalami masalah berat badan, latihan fisioterapi dan rawatan menyelaraskan semula bahagian yang sakit. Jika rawatan ini tidak berupaya membantu pesakit, barulah disyorkan penggunaan ubatan tahan sakit seperti COX-2, suntikan dan akhir sekali pembedahan.

No comments:

Post a Comment